Friday, March 26, 2010

.......JPJ diDik peManDu.........

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

 
 
PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak berniat mengeluarkan lebih banyak saman kepada pesalah lalu lintas dengan memperkenalkan penggunaan Sistem Penguatkuasaan Saman Automatik (AES) sebaliknya mahu pemandu lebih berwaspada ketika memandu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan, berkata penggunaan AES di 831 lokasi seluruh negara bermula Mei depan bertujuan mendidik pemandu supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.

“Apa yang biasa kita lihat, sekiranya pemandu ternampak sekatan jalan raya mereka akan memandu dalam had yang ditetapkan, namun selepas itu mereka akan memecut tanpa menghiraukan had laju dibenarkan,” katanya.

Menurutnya, berikutan itu, sistem AES dijangka dapat memberi peringatan kepada pemandu bahawa mereka sentiasa diperhatikan dan segala kesalahan boleh dirakam menggunakan kamera yang dipasang di lokasi terbabit.

“Sistem ini dijangka mampu berfungsi dengan baik kerana ia beroperasi 24 jam tanpa mengira apa juga keadaan sama ada pada waktu malam atau siang.

“Setiap kesalahan yang dilakukan pemandu akan dirakam kamera dan kemudian diproses di pusat kawalan. Pemandu dijangka mendapat surat saman dalam tempoh tujuh hari,” katanya pada sesi taklimat mengenai pelaksanaan AES di pejabatnya di sini, semalam.

Menurut Solah, selain mengenal pasti kesalahan trafik, sistem AES boleh membantu polis mengesan penjenayah yang melarikan diri menggunakan kenderaan.

“Sekurang-kurangnya sistem ini dapat membantu polis menjejak arah penjenayah yang melarikan diri kerana ada banyak kamera di seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, penggunaan sistem AES juga dapat menjimatkan penggunaan masa, wang dan tenaga kerana semua maklumat kesalahan pemandu boleh didapati terus dari pusat kawalan termasuk ketika perbicaraan di mahkamah.




No comments:

Post a Comment